Kilang Pembuatan Arang, Kuala Sepetang
- Sejarah
Sejak sekian lama Kuala Sepetang – atau nama lamanya, Port Weld – bukan sahaja terkenal sebagai tapak stesen kereta api terawal di Malaysia, tetapi juga industri pembuatan kayu arang paling tua.
Industri berkenaan bertapak di situ sejak 1930 dan dari semasa ke semasa produk kayu arang dari Kuala Sepetang mendapat permintaan yang tinggi kerana dianggap antara yang terbaik di dunia.
Bagaimanapun, proses penghasilannya bukanlah semudah yang disangka.
Terdapat dua jenis pokok bakau iaitu pokok bakau kurap (Rhizophora mucronata) dan bakau minyak (Rhiziphora Apiculato) berusia sekurang-kurangnya 30 tahun untuk ditebang bagi mendapatkan hasil kayu arang terbaik.
Kawasan yang diberikan permit penebangan akan dimasuki pekerja untuk proses penebangan pokok menggunakan gergaji rantai.
Setiap pokok yang ditebang akan dikerat sepanjang dua meter dan diangkut menggunakan bot untuk dihantar ke kilang arang.
Sungai semula jadi adalah laluan terpenting bagi membawa kayu bakau ke kilang arang yang kebanyakannya terletak di pinggir sungai.
Sebaik bot tiba di kilang, kayu akan dipunggah ke darat untuk proses pengeringan antara dua hingga tiga hari. Kayu yang kering akan diangkut ke tempat pembakaran iaitu gok.
Gok yang diperbuat menggunakan batu bata dan selut tanah bercampur pasir halus akan dibentuk separuh bulat dengan satu pintu masuk.
Selain, empat lubang asap platform pembakaran di bawah kilang berbumbung bertujuan mengelakkan daripada terkena hujan.
Seterusnya kayu bakau disusun secara menegak sehingga penuh dan satu gok mampu memuatkan sehingga 1,400 kayu bakau.
Kualiti kayu arang yang dibakar boleh dinilai melalui tiga kaedah iaitu dengan melihat kepada jenis warna asap yang terhasil daripada lubang asap atau hanya menggunakan tangan dalam menentukan kelembapan wap bagi arang siap dimasak sepenuhnya.
Selepas kayu bakau menjadi arang, gok akan melalui proses penyejukan sebelum pekerja mengeluarkan arang untuk dimuatkan dalam lori, ditimbang dan dihantar ke kilang pemprosesan terakhir untuk dijadikan pelbagai produk.
Mengimbau sejarah, Kuala Sepetang ini dahulu cukup terkenal sebagai pusat perlombongan bijih timah sehingga melahirkan seorang tokoh perusahaan seperti Che Ngah Ibrahim atau gelarannya Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim Jaafar sekitar 1870-an.
Namun atas beberapa peristiwa industri perlombongan bijih timah mulai berkurangan sehingga banyak lombong di daerah Larut ditinggalkan.
Kini Kuala Sepetang dikenali sebagai antara pengeluar arang kayu daripada pokok bakau terbaik dunia. Menariknya, industri arang kayu ini bertapak sejak 1930 sehingga kini dan turut dikenali di luar negara.
Sumber : Metro & Malaysiakini.com
Photo by Mr Azneal Ishak