Kisah Taman Tasik Taiping
- Sejarah
Taman Tasik Taiping adalah di antara lokasi di Taiping yang paling aktif dan paling banyak menerima kunjungan pelawat dan pelancong sejak dari dahulu lagi. Dianggarkan lebih sejuta pelawat dan pelancong datang berkunjung di Taman Tasik Taiping saban tahun, yang merupakan taman awam pertama dalam sejarah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Taman yang berkeluasan kira-kira 64 hektar atau 160 ekar ini mengandungi pelbagai komponen lanskap yang saling melengkapi di antara satu sama lain, sehingga menjadikan taman awam yang berusia lebih 130 tahun ini antara taman awam yang terbaik serta terindah di negara kita.
Taman Tasik Taiping dibangunkan secara asalnya mengikut konsep ‘Rolling Meadows’, iaitu konsep mengadaptasi kawasan hijau dan lapang berkontur dan pokok-pokok besar sebagai elemen utama serta tasik sebagai pelengkap lanskapnya.
Dalam catatan sejarah pernah menceritakan keindahan Taman Tasik Taiping ini ketika ia dibangunkan, kelihatan seolah-olah menyamai Kensington Park di London, iaitu sebuah taman awam yang tersenarai dalam lapan ‘Royal Park’ tercantik di London.
Taman Tasik Taiping merupakan tapak bekas perlombongan bijih timah yang agak besar di kawasan Klian Pauh atau Taiping lebih 130 tahun yang lalu. Di antara komponen terpenting di taman ini ialah tiga tasik besar yang dikenali sebagai South Lake, West Lake dan Jungle Lake serta kolam-kolam kecil yang memainkan peranan utama dalam mengekalkan kelestarian dan kemampanan taman awam serta bandar Taiping.
Fungsi lain Taman Tasik Taiping selain sebagai taman awam dan taman rekreasi, ia juga adalah sebahagian dari zon takungan air untuk mengelakan kejadian banjir kilat di bandar Taiping. Taman Tasik Taiping juga menjadi rumah kepada lebih 2,500 batang pokok dari lebih 75 spesis termasuk spesis eksotik seperti teratai putih, pokok seroja, pokok tembusu, pokok Hujan-Hujan, pokok Brazil Nut, Jacaranda Filicifolia serta pelbagai spesis tempatan.
Pohon-pohon segar menghijau dalam taman ini turut berfungsi sebagai ‘green lung’ dan ‘air filter’ kepada bandar, kawasan perumahan dan komersial di Taiping. Banyak fungsi dan manfaat yang dimainkan oleh taman awam ini dan sewajarnya taman ini berjaya memenangi hati seluruh masyarakat.
Semua pihak perlu bersama-sama menjaga kelestarian dan keindahan Taman Tasik Taiping dari segala gejala kerosakan dan kemusnahan yang akhirnya membawa kerugian kepada kita dan generasi akan datang. Sungguhpun Taman Tasik Taiping merupakan taman buatan manusia namun ia adalah sumber pembangunan yang amat bernilai dari segi estatik, warisan negara dan juga ekonomi.
Taman ini sewajarnya dikekalkan sebagai aset dan khazanah negara dalam bentuk asalnya dan dalam masa yang sama dinikmati oleh orang ramai. Namun dalam era pembangunan negara, serta dalam pembangunan pasaran hartanah yang rancak telah menyebab hartanah di sekitar taman tasik ini semakin mendapat tumpuan untuk dibangunkan. Perkara ini membolehkan potensi ekonomi di kawasan ini dimanfaatkan namun pembangunan fizikal perlu memastikan keharmonian, kesejagatan, kemampanan dan kelestarian diutamakan.
Pada 21 Disember 2018, Taiping telah tersenarai dalam 100 destinasi lestari @ hijau terbaik dunia 2018 oleh Green Destination Award. Taman Tasik Taiping adalah di antara kriteria yang termasuk dalam anugerah ini.
Sebelum ini Taman Tasik Taiping pernah memenangi pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan termasuklah dinobatkan sebagai ’Best City & Town Park 2018’, Destinasi Pelancongan Warisan & Eko Terbaik oleh Malaysia Tourism Council Gold Award, Green Initiative Award oleh Malaysia Landscape Architecture Award 2017 dan lain-lain. Anugerah-anugerah ini merupakan platform yang telah dipasakkan oleh MPT dengan bantuan dan kerjasama masyarakat yang turut sama menjaga kelestarian taman ini.